Malaysia melangkah ke final Piala Suzuki
December 18, 2010
Dengan itu pasukan negara yang menewaskan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dalam perlawanan separuh akhir pertama Rabu lepas layak ke final seteleh menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0.
Beraksi di hadapan penonton sendiri, Vietnam bermula garang pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan agresif, namun gagal membolosi gol Malaysia.
Cubaan berbahaya penyerang Vietnam dapat ditangani oleh penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat bersama barisan pertahanan dengan cemerlang hingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, Malaysia turut mempamerkan corak permainan lebih agresif dengan kedua-dua pasukan saling asak- mengasak untuk mencari gol, namun berkesudahan tanpa sebarang jaringan dilakukan hingga tamat perlawanan.
Pengadil memberi kad merah kepada pemain Vietnam, Pham Thanh Luong pada minit ke-71 apabila dia pura-pura jatuh seoah-olah dikasari oleh pemain Malaysia S. Kunanlan dalam kawasan kotak penalti. Malaysia mendapat beberapa peluang pada saat-saat akhir perlawanan di hadapan gol Vietnam, namun dapat ditepis oleh penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.
Dalam pertemuan separuh akhir pertama antara Indonesia dengan Filipina di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam tadi, Indonesia menewaskan Filipina 1-0.
Perlawanan separuh akhir kedua antara kedua-dua pasukan akan diadakan di stadium yang sama malam esok yang pemenangnya akan bertemu Malaysia di perlawanan akhir.
Sepanjang tujuh edisi Piala Suzuki sebelum ini, Malaysia hanya sekali melangkah ke pertandingan akhir iaitu pada edisi sulung 1996 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger dan tewas 0-1 kepada Thailand. Dalam enam edisi berikutnya, Malaysia tewas empat kali di separuh akhir kepada Thailand (2000), Indonesia (2002 dan 2004) dan Singapura (2007) serta dua kali terkandas di peringkat kumpulan (1998 dan 2008).
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kejayaan pasukan bola sepak Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF merupakan satu “turning point” dalam sejarah bola sepak negara.
Perdana Menteri berkata walaupun perlawanan timbal balik di Stadium My Dinh malam ini menyaksikan Malaysia seri 0-0 dengan Vietnam, ia tetap merupakan “satu kebangkitan yang amat diharapkan oleh rakyat selama ini”.
Najib berkata demikian ketika ditemui selepas menonton perlawanan yang disiar secara langsung oleh Astro Supersport itu, di skrin besar di Jalan Bukit Bintang, di sini, bersama kira-kira 5,000 orang, termasuk pelancong asing yang membanjiri kawasan membeli belah utama di ibu kota itu.
“Walaupun tidak berjaya menyumbat sebarang gol, tapi yang penting kita dapat masuk final dan ini merupakan ‘turning point’ dalam sejarah bola sepak negara,” katanya.
Najib berkata walaupun pasukan negara dilihat bermain secara ‘defensif’ dalam perlawanan ini, namun mereka bermain dengan penuh semangat dan memastikan benteng pertahanan sentiasa kukuh sehingga tidak dapat ditembusi Vietnam.
“Selain itu pasukan negara juga mempamerkan disiplin yang tinggi serta patuh kepada arahan jurulatih, dan ini merupakan antara penyumbang kepada kejayaan pasukan bola sepak negara,” katanya.
Perdana Menteri yang berpakaian baju kemeja berlengan pendek tiba pada pukul 8.40 malam, iaitu kira-kira lima minit terakhir separuh masa pertama perlawanan, dan ketibaannya disambut dengan sorakan dan laungan Malaysia boleh oleh para hadirin.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan timbalannya Datuk Razali Ibrahim turut menyambut ketibaan Najib dan bersama-sama bersantai bersama Najib yang duduk bersila di atas jalan bersama para penonton menonton perlawanan itu sehingga tamat permainan.
Menjawab satu soalan Najib berkata soal ganjaran tidak perlu diutamakan lagi, dan apa yang penting ialah soal kejayaan perlu dilakar terlebih dahulu.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata persefahaman dan semangat tinggi yang dipamerkan oleh pasukan negara membuahkan hasil yang cukup membanggakan sehingga berjaya mengekang serangan Vietnam.
“Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol malam ini, tetapi dengan permainan yang efektif pasukan negara berjaya melangkah ke saingan akhir,” katanya.
“Tidak semestinya kita perlu bermain cantik untuk menang kerana yang penting kita capai keputusan terbaik,” tambahnya sambil mengucapkan tahniah kepada anak-anak buah K. Rajagobal yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir. — Bernama
No comments:
Post a Comment