KEHADIRAN Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek adalah untuk mengeratkan hubungan dengan rakan sejawatnya di Jakarta, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andi Mallarangeng.
Namun, media tempatan mengambil kesempatan pada pertemuan kedua menteri itu dengan mengutarakan pelbagai soalan yang bertujuan memprovokasi Ahmad Shabery menjelang final kedua Piala Suzuki AFF, malam ini.
“Saya ada terbaca kisah laser ini mula terjadi di Senayan,” kata Shabery ketika ditanyakan soalan adakah Malaysia akan menggunakan segala cara untuk menang termasuk menggunakan pancaran laser.
“Tetapi kami tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan kekalahan. Kami menerima hakikat permainan tuan rumah lebih baik berbanding pasukan Malaysia ketika itu.
“Pada perlawanan di Bukit Jalil, kami sudah berusaha untuk memastikan alat penunjuk laser tidak dibawa masuk ke stadium, tetapi masih ada penyokong tidak bertanggungjawab berjaya menyeludup alat berkenaan. Insiden ini tidak akan berulang.”
Kemudian Shabery dihujani pula soalan mengenai denda AS$40 juta (RM130 juta) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akibat kejadian laser di Bukit Jalil termasuk pertemuan separuh akhir dengan Vietnam.
“Ini adalah provokasi semata-mata,” kata Shabery kepada wartawan dari Malaysia selepas majlis berkenaan. “Setiausaha Agung FAM (Datuk Azzuddin Ahmad) sendiri mengesahkan perkara itu tidak benar.
“Ini adalah usaha dimainkan pihak tertentu untuk melemahkan semangat pasukan kebangsaan kita.”
No comments:
Post a Comment