Rajagobal kena hina
SKUAD kebangsaan terus tidak tenang apabila diganggu penyokong fanatik Indonesia ketika sesi latihan terakhir berhampiran hotel penginapan, semalam.
Kira-kira 20 penyokong Indonesia dilihat menjerit ke arah pemain kebangsaan yang menjalani latihan ringan selama satu jam.
Malah mereka membentangkan kain rentang seperti 'Laser No...Football Yes' (Laser Tidak...Bola Sepak Ya) dan 'Raja Gombal pasti hancur'. Gombal membawa maksud kain yang digunakan untuk mengelap kekotoran.
Gangguan itu menyebabkan Rajagobal tidak dapat mencuba keupayaan pemain dan membuat latihan taktikal bagi berdepan Indonesia, malam ini.
Terdahulu skuad kebangsaan terpaksa mengubah lokasi latihan yang disediakan pihak penganjur iaitu padang ABC Senayan yang berhampiran dengan stadium kerana bimbang terhadap keselamatan pemain berikutan kehadiran kira-kira 40,000 penyokong Indonesia yang sedang berasak-asak mendapatkan tiket asli sejak awal pagi.
Mereka kemudiannya dicadangkan untuk menjalani latihan di Stadium Lebak Bulus yang terletak di Jakarta Selatan dan mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan kerana kesesakan lalu lintas walaupun hanya terletak kira-kira 15 kilometer dari hotel penginapan pasukan.
Namun usaha itu juga gagal apabila skuad kebangsaan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, sekali gus memaksa Rajagobal mengatur latihan ringan berhampiran hotel penginapan yang turut dikawal tiga pengawal keselamatan.
Latihan rasmi kedua-dua pasukan itu tidak dapat dilakukan di Gelora Bung Karno kerana stadium itu masih dalam proses membaik pulih padang.
sumber dari mymetro
No comments:
Post a Comment